SELANGOR

Manfaat kemajuan teknologi, didik remaja ‘patuh’ agama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 1 DIS : Remaja perlu memanfaatkan kemajuan teknologi dan penggunaan internet secara berhemah tanpa membatasi prinsip moral dan kesucian dalam agama.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ini kerana golongan itu mudah terleka dengan kecanggihan teknologi yang akhirnya mendorong berlakunya penyakit sosial.

“Perubahan akan terus berlaku dengan kecanggihan teknologi maklumat dan internet tanpa bantasan ketika ini.

“Apa yang perlu disedari dan dihindari adalah kesan-kesan negatif daripada teknologi maklumat yang terhasil di internet dan sumber media.

YUNUS HAIRI“Oleh itu, penapisan perlu bermula dalam diri dan fikiran seseorang individu tanpa bergantung kepada penapisan badan-badan berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dibacakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tuan, Razaly Hassan pada Majlis Perasmian Penutupan Program Daurah Remaja Islam 3T di Masjid Bukit Indah, Ampang di sini, petang ini.

Terdahulu, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan kemajuan teknologi tanpa batasan menjadi faktor utama peningkatan masalah sosial membabitkan golongan remaja di Malaysia.

Kadar peningkatan krisis akhlak dan moral golongan remaja di negara ini semakin menggerunkan apabila statistik menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat sebanyak 111 peratus dalam tempoh setahun.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 7,816 kes dicatatkan pada 2013 berbanding hanya 3,700 kes pada 2012 iaitu membabitkan peningkatan sebanyak 4,116 kes.

Malah, angka kegiatan jenayah berat golongan remaja yang tamat persekolahan pula mencatatkan peningkatan ketara sehingga 137 peratus kepada 2,011 kes berbanding hanya 849 kes dicatatkan pada 2012.

remaja-sosialKategori jenayah berat ini turut dikaitkan dengan remaja bawah umur berusia antara 12 hingga 17 tahun. Angka direkodkan turut meningkat kira-kira 47 peratus di seluruh negara dan ada daripada mereka terlibat dengan kes bunuh dan juga rogol.

Bercakap lanjut, Yunus berkata semua pihak perlu mengembeling tenaga memastikan remaja tidak terpengaruh dengan anasir luar yang menyebabkan masalah sosial sukar ditangani secara konsisten.

“Dalam usaha kita mencari punca dan sebab berlakunya gejala sosial, beberapa pihak nampaknya terus dipersalahkan.

“Seharusnya sikap tolerensi, persefahaman serta komunikasi terbuka di antara ibubapa dan anak-anak mereka banyak mempengaruhi perkembangan didi remaja.

“Walaupun ibu bapa sibuk mencari nafkah, tanggungjawab kepada keluarga juga perlu diutamakan dengan memahami perasaan, mengawal emosi dan menjalinkan kasih sayang dalam keluarga,” katanya.

-nR-


Pengarang :