Selangorkini
SELANGOR

MBPJ berjaya kurang kadar jenayah 70%

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 21 DIS: Pelaksanaan inisiatif pemutihan kawasan ‘Blackspot’ oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 70 peratus di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, impak positif itu menyaksikan penurunan 70.83 peratus bagi kes pecah rumah, 68.42 peratus (jenayah ragut) dan 50 peratus (curi motorsikal).

Manakala, 35.29 peratus menurun bagi kes curi kereta dan 42.10 peratus bagi jenayah samun.

“MPBJ bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran selamat dan sejahtera buat semua penduduk di Petaling Jaya.

“Pelaksanaan ini direalisasi melalui Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya dengan empat aspek utama dirancang iaitu Keselamatan Persekitaran, Keselamatan Infrastruktur, Keselamatan Digital dan Pengurusan Keselamatan serta Penguatkuasaan,” katanya di mesyuarat bulanan, di sini.

Pada masa sama, katanya, MBPJ turut membuat temuramah Kajian ‘Fear of Crime’ terhadap 200 penduduk di kedua-dua kawasan terbabit bagi melihat keberkesanan projek dan program keselamatan dilaksanakan.

“Hasil daripada kajian itu menunjukkan peratusan ‘Rasa Selamat Penduduk’ meningkat iaitu daripada 16 peratus kepada 87 peratus bagi penduduk di Flat Kg. Lindungan PJS 6.

“Manakala, dari lapan peratus meingkat kepada 68 peratus bagi penduduk di Pangsapuri Damai dan sekitar Mentari Business Park, PJS 8,” katanya.

Beliau berkata penurunan kadar jenayah di kedua-dua kawasan hitam dan peningkatan rasa selamat di kalangan penduduk membuktikan keberkesanan pelaksanaan program itu.

Terdahulu, program pemutihan itu dilaksanakan melalui pendekatan lima langkah segera projek fizikal Bandar Selamat iaitu pencahayaan, pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan, papan tanda peringatan jenayah dan penyediaan tempat letak motosikal berkunci.

Program keselamatan dan pembangunan sosial pula meliputi program rondaan dan kehadiran polis, pemasangan CCTV, program pembersihan warga asing dan operasi membanteras penagih dadah serta memperluaskan program kesedaran.

Bagi 2016, kawasan terpilih bagi pelaksanaan projek ini adalah di kawasan Kampung Lindungan, PJS 6 serta Pangsapuri Damai dan Mentari Business Park, PJS 8 yang mencatatkan kadar jenayah tinggi.

Selepas program dilaksanakan, kes jenayah pecah rumah (7 kes), kes jenayah ragut (6 kes), curi motorsikal (20 kes), curi kereta (11 kes), dan samun (22 kes).

=EZY=


Pengarang :