Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Najib mesti hentikan penganiayaan terhadap aktivis hak asasi

ccsb-ads

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Sejak penahanan mengejut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah pada 18 November lalu, kerajaan pimpinan Datuk Sri Najib Razak kini sedia untuk berperang melawan aktivis dan organisasi hak asasi manusia.

Kempen penindasan beliau dibuat berdasarkan teori konspirasi yang sengaja diada-adakan, kononnya aktivis Malaysia yang memperjuangkan pilihan raya adil dan bersih, pemerkasaan wanita, kebebasan berucap dan hak asasi, telah menjalankan aktiviti menggugat demokrasi berparlimen mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Seksyen 124C menjadikan ‘aktiviti menggugat demokrasi berparlimen’ sebagai jenayah bagi kumpulan yang mahu menggunakan ‘keganasan dan perbuatan tidak berperlembagaan’.

Kuasa 124C dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah keterlaluan dan tidak relevan digunakan ke atas NGO seperti BERSIH, Lawyers for Liberty dan EMPOWER yang membantu golongan tertindas, lemah dan memerlukan menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang luhur.

Kumpulan ini melakukan tuntutan aman untuk – pilihan raya adil dan bebas dan kebebasan berucap – yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Langsung tiada asas untuk menggunakan undang-undang kasar yang menindas seperti SOSMA dan 14C terhadap aktivis masyarakat sivil.

Tuduhan teori konspirasi tidak berasas oleh Najib dan UMNO diteruskan lagi dengan tuduhan bahawa aktivis ini adalah boneka kuasa luar dan kini kita lihat George Soros sekali lagi digunakan sebagai kambing hitam untuk meyakinkan orang ramai supaya kekal bersama UMNO demi keselamatan.

Aktiviti kumpulan sivil ini kemudiannya dipaparkan sebagai jahat dengan alasan mereka menerima ‘dana asing’.

azmin-parlimenNamun saya ingin bertanya, bukankah ekonomi Malaysia terbuka untuk pelaburan asing? Adakah dana organisasi ini hanya dipersoalkan sekiranya mereka menegur pencabulan UMNO/Barisan Nasional terhadap hak asasi dan hak demokrasi rakyat Malaysia untuk menikmati demokrasi berparlimen melalui pilihan raya bebas dan adil?

Kita juga boleh bertanya, mengapa deposit dana asing ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri tidak dianggap sebagai isu demokrasi berparlimen?

Di mana kebertanggungjawapan Perdana Menteri sekiranya kuasa luar berupaya mempengaruhi institusi politik tertinggi negara secara langsung menerusi ‘derma’

Penganiayaan terhadap organisasi hak asasi ini hanyalah sandiwara yang dimainkan bagi mengalih tumpuan terhadap krisis politik UMNO.

Mereka gagal mewujudkan suasana positif, maka kembali menggunakan taktik lapuk dengan menanam ketakutan dan kebencian berdasarkan pembohongan.

Bersempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, saya menyeru Najib dan UMNO supaya menghentikan pembulian ke atas aktivis hak asasi ini.

Mereka sebenarnya adalah orang yang cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

*Mohamed Azmin adalah Dato’ Menteri Besar dan Timbalan Presiden KEADILAN


Pengarang :