Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini, sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-71.

Majlis yang dipimpin Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir itu turut diserikan dengan keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Panglima Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.

Dianggarkan lebih 4,000 rakyat Selangor menyertai majlis berkenaan yang bersama mendoakan kesejahteraan baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat yang mula memenuhi ruang masjid sejak jam 11.30 pagi.

Baginda turut mengambil peluang mendekati serta bersalaman dengan hadirin.

Hadir sama, Exco Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

-AA-


Pengarang :