BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor: Doktor perlu profesional, beri khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 DIS: Kakitangan hospital kerajaan termasuk doktor dinasihatkan bersikap profesional dan mementingkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah doktor, pegawai dan kakitangan perlu bersabar dalam menangani kehendak pesakit.

Titah baginda, hal itu kerana rakyat hanya boleh mendapatkan rawatan yang murah dan berkesan di hospital kerajaan sahaja.

“Beta menyedari tugas seorang doktor khususnya amat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.

“Namun, beta mahu tugas dan tanggungjawab ini dapat dijalankan dengan kesabaran serta dedikasi yang tinggi,” titah baginda ketika merasmikan Hospital Shah Alam, di sini.

pmb_4107Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Norashikin Abdul Rahman.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Tahrin.

Baginda turut menasihatkan orang ramai supaya bersabar dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Hal itu, titah baginda kerana hospital kerajaan mempunyai ramai pesakit manakala bilik rawatan juga terhad.

“Doktor dan pakar-pakar perubatan disarankan untuk terus berkhidmat demi mencurahkan jasa kepada rakyat.

“Pihak kerajaan juga hendaklah menjaga kebajikan dengan memberikan insentif serta keistimewaan kepada kakitangan kerana mereka perlu mendapat pengiktirafan sewajarnya,” titah baginda.

-nR-


Pengarang :