Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Tangguh persempadanan semula

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 18 DIS : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berpegang kepada prinsip dan etika perundangan selaras keputusan penangguhan dibuat Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.

Menyambut baik keputusan itu, Hannah berkata inisiatif dibuat Kerajaan Negeri dengan membawa perkara tersebut ke mahkamah adalah relevan berlandaskan lunas perundangan sedia ada.

“Bantahan dibuat dan apa dilakukan Kerajaan Negeri sangat baik bagi menghalang wujudnya pelanggaran cadangan persempadanan semula dibuat sebelum ini.

“Saya menyambut baik keputusan mahkamah itu, dan berharap SPR menghormati prinsip itu dan tidak melanggari konteks perundangan diputuskan di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Kerajaan Negeri hadir ke Mahkamah Tinggi bagi prosiding penangguhan proses tersebut.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan siasatan SPR tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu setelah mendapati Kerajaan Negeri itu mengikut semua peraturan berkaitan permohonan berkenaan dan terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan itu.

Azizul juga berkata Kerajaan Selangor mempunyai hak untuk membantah cadangan persempadanan semula itu.

Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu pendengaran permohonan semakan semula kehakiman Kerajaan Selangor pada 20 Jan 2017.

=EZY=


Pengarang :