Selangorkini
NASIONAL

TI-M: Lantik pengarah GLC berintegriti bukan lantikan politik

SHAH ALAM 27 DIS: Kerajaan Persekutuan perlu menyemak semula kriteria pelantikan pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan mereka berintegriti, bukan sekadar pelantikan politik.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, mereka yang dilantik perlu cekap, dedikasi, berpengetahuan dan berpengalaman dan bidang masing-masing, dan yang paling penting berintegriti.

Katanya pengarah didapati terbabit dalam skandal atau gagal mengasingkan tanggungjawab tugas mereka perlu disingkirkan daripada jawatan masing-masing serta-merta.

“Calon yang dipilih perlu diperiksa dengan teliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan media.

Akhbar berkata demikian ketika mengulas laporan RM2 bilion ketirisan daripada jabatan kerajaan dan GLC ditemui susulan audit oleh Jabatan Audit Negara.

“Tindakan keras perlu diambil terhadap mereka yang melanggar amanah rakyat,” katanya.

Katanya, duit yang dilaburkan dalam GLC ialah milik pembayar cukai dan ia tidak sepatutnya diselewengkan.

Berhubung ketirisan itu, Akhbar berkata “3 barisan pertahanan” terhadap ketirisan – kawalan pengurusan, kawalan risiko dan pematuhan dan audit dalaman – diguna pakai banyak syarikat dan GLC gagal kerana pemantauan yang rendah oleh lembaga pengarah mereka.

“Kerajaan negeri juga perlu menyemak semula kriteria dalam melantik pengarah syarikat milik kerajaan negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :