Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

105 kontraktor terima kontrak Pembersihan Awam MBSA 2017-2019

ccsb-ads

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 105 kontraktor menerima surat tawaran kontrak Pembersihan Awam daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi sesi 2017-2019, dalam satu majlis serahan, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, seramai 15 kontraktor Pembersihan Dewan dan seorang kontraktor Kutipan Sampah Sisa Domestik turut menerima surat tawaran bagi sesi sama.

“MBSA akan mengenakan tindakan lebih tegas kepada kontraktor dilantik dan penamatan kontrak akan dibuat dengan segera sekiranya mereka gagal mematuhi syarat ditetapkan.

sampah-mbsa-3“Antara tindakan bakal diambil adalah mengenakan Notice to Correct (NTC), tindakan penggantungan kontrak, perkhidmatan tidak dibayar dan penamatan kontrak,” katanya.

Majlis serahan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan turut dihadiri pengarah jabatan dan ahli majlis MBSA.

Bagi skop kontraktor pembersihan awam, kerja yang perlu dilaksanakan adalah memotong rumput dan menyapu jalan selepas kerja pemotongan dengan kekerapan dua kali sebulan, membersihkan longkang, perangkap pasir (sump) dan parit erong dengan kekerapan dua kali sebulan.

Kontraktor juga perlu melakukan kutipan sampah sisa pukal, sisa kebun dan sisa haram tiga kali seminggu, menyapu jalan dan kekemasan jalan perumahan dengan kekerapan dua kali sebulan serta menyapu jalan dan kekemasan jalan utama, komersial dan persiaran setiap hari.

Untuk skop kontraktor Kutipan Sampah Sisa Domestik pula melibatkan kerja kutipan sisa bagi rumah jenis ‘landed’ empat kali seminggu dengan mengambil kira kutipan sampah pada hujung minggu dan kerja kutipan sisa domestik di premis seperti industri sesebuah, industri teres, berkembar dan hotel dengan kekerapan kutipan lima kali seminggu.

Manakala, skop kerja kontraktor Pembersihan Dewan Majlis pula meliputi kerja pembersihan kawasan dalam, luar dan sekitar dewan, pembersihan tandas dewan, pembekalan perkakas tandas serta pembersihan tong sampah atau ‘bin chamber’.

-NFN-


Pengarang :