Selangorkini
NASIONAL

Majlis pelancaran PPBM dicemari insiden simbah asid

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Perbuatan khianat dengan menyimbah asid pada lapan kereta penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berlangsung malam tadi dipercayai dilakukan golongan terdesak.

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata lapan kereta terbabit diletakkan di susur keluar Jalan Lontar Peluru 13/39 menuju ke Jalan Persiaran Sukan berhampiran Stadium Tertutup Malawati di mana majlis itu berlangsung.

Syed Saddiq“Selepas pelancaran parti berjalan lancar saya percaya memang ada pihak cemburu tengok kita berjaya kumpulkan sekurang-kurangnya 7,000 dan ada juga akhbar berbahasa Cina melaporkan 10,000 orang .

“Kerana cemburu mereka sanggup lakukan perbuatan khianat ini. Mangsa bukanlah pemimpin tetapi hanya penyokong biasa iaitu rakyat marhaen dan saya rasa tindakan ini kerana terdesak disebabkan takut dengan kemaraan PPBM ke hadapan, lalu mereka gunakan cara kotor supaya pada masa depan orang ramai takut hadir ke program kami.

“Ini menunjukkan kita semakin kuat, semakin bersatu dan beristiqamah untuk menentang Umno dan Barisan Nasional (BN),” kata Syed Saddiq kepada SelangorKini pada forum ‘Integration With Integrity’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM House) di sini, hari ini.

Katanya, kejadian khianat itu sama sekali tidak akan melunturkan semangat para penyokong dan ahli PPBM untuk meneruskan perjuangan parti itu.

“Bila melangkah dalam perjuangan memang penuh dengan pelbagai cabaran, namun kami tidak akan berundur,” katanya lagi.

Jelasnya, beliau mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan Exco Armada yang bertugas sebaik sahaja perasmian pelancaran disempurnakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

-nR-


Pengarang :