Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor optimis kekal penyumbang KDNK utama negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 21 JAN : Kerajaan Negeri optimis mampu mengekalkan kedudukan Selangor sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk tempoh 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perancangan berterusan dibuat bagi menarik penglibatan pelabur dari dalam dan luar negara ke Selangor.

Walaupun menganggap 2017 sebagai tahun paling mencabar susulan kemeruduman ekonomi Persekutuan, namun beliau yakin prestasi tersebut dapat dikekalkan berpandu kepada rizab dan belanjawan negeri.

Azmin-Rakyat“Kita mahu kedudukan ini kekal dengan penglibatan dan gerak kerja dari Invest Selangor yang akan bekerja lebih kuat untuk pastikan pelabur asing mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan.

“Ini memerlukan suasana kondusif dan pentadbiran berteraskan prinsip ketelusan dan kebertangungjawaban.

“Saya yakin kita dapat mencatatkan satu sasaran yang kita tetapkan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas hadir pada Program Sehari Bersama Pimpinan di Dewan Kampung Seri Aman Mas, di sini, pagi ini.

Tahun lalu menyaksikan kejayaan besar apabila Selangor mengukuhkan persekitaran ekonominya selepas menyumbang 25 peratus hasil KDNK negara.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia, ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.1 peratus), Sarawak (10.1 peratus), Johor (9.3 peratus) dan Sabah (6.5 peratus).

Laporan itu menunjukkan Selangor turut menjadi penyumbang utama sektor perkhidmatan di Malaysia dengan jumlah sumbangan 49.9 peratus.

-nR-


Pengarang :