Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Adakan sidang tergempar OIC rangka strategi arahan eksekutif Trump

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengadakan pertemuan tergempar bagi merangka strategi untuk menjamin keadilan dan persefahaman antara semua pihak dalam isu berkaitan arahan eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersama 57 negara Islam perlu membabitkan diri dalam perbincangan itu.

Katanya, arahan eksekutif yang melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat membuatkan banyak yang terkesan.

“Saya kecewa menerima berita arahan eksekutif Trump yang ditandatangani Jumaat lalu (27 Januari) bagi melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat.

wan-azizah“Walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum seperti yang kita saksikan ini dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud pada waktu ini di antara pentadbiran Amerika Syarikat sekarang dan dunia Islam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, arahan itu tidak sah, tidak berperikemanusiaan, malahan turut bersifat perkauman.

Katanya, arahan terbabit menyebabkan beberapa individu yang mempunyai dokumentasi sah ditahan di beberapa lapangan terbang.

“Ini membangkitkan kemarahan rakyat Amerika yang membantah tindakan kejam kerajaan mereka. Saya mengecam tindakan Trump yang menghalang kemasukan individu daripada beberapa negara majoriti Muslim,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu tidak akan memberi jaminan keselamatan di negara lain di dunia.

Sehubungan itu, Nik Nazmi meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian sama ada menyokong atau membantah tindakan Trump.

“Saya juga menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan hal ini dan memutuskan reaksi negara terhadap tindakan itu serta yang kita boleh ambil untuk membantu pelarian,” katanya.

Terdahulu, Trump menandatangani 10 perintah eksekutif dan dikatakan akan menghentikan visa pelancong ke atas tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

-NFN-


Pengarang :