Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Ayam lambang kebangkitan fajar menyinsing

Perutusan Tahun Baru Cina 2017

OLEH DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Tahun Baru Cina kali ini merupakan Tahun Ayam. Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperuntukkan masa cuti Tahun Baru Cina ini, dengan penuh ketenangan dan harmoni bersama keluarga dan taulan.

Ayam adalah lambang kebangkitan, fajar yang menyinsing. Kejayaan pada tahun ini hanya akan diperolehi melalui kegigihan dan kesungguhan. Oleh kerana unsur api mengusai tahun ini, ayam yang dilihat penuh kesabaran, disiplin dan teratur ini juga mempunyai semangat yang membara pada tahun ini.

Memandangkan cabaran tahun 2017 dijangkakan amat getir, kita harus berusaha dengan lebih gigih. Namun demikian, jangan sesekali kita terlupa salahguna kuasa dan penyelewengan para kleptokrat yang mengakibatkan kita terpaksa menempuh cabaran-cabaran ini.

Kesan kleptokrasi menyebabkan matawang kita menjadi lemah yang mengakibatkan kelesuan ekonomi. Lalu yang menanggung beban adalah rakyat yang hilang pekerjaan dan dihimpit kos sara hidup yang makin meninggi.

Walau apa rintangan yang mendatang, jangan sesekali kita patah semangat. Bulatkan tekad dan kuatkan semangat dalam menempuh segala cabaran.

Kegigihan dan kesungguhan kita ditagih dalam perjuangan panjang kita memperbaiki keadaan sedia ada serta membina Malaysia baru yang lebih adil, makmur dan sejahtera.

Gong Xi Fa Cai

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat


Pengarang :