BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Undi rakyat penentu pemimpin berdasarkan demokrasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JAN: Hanya undian rakyat akan menentukan parti yang layak untuk diangkat menjadi pemimpin berdasarkan sistem demokrasi diamalkan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan pemilihan jawatan juga pemimpin berdasarkan sistem demokratik bukan antara siapa setuju atau tidak.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perbincangan antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin DAP jika parti pembangkang berjaya menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

azmin-parlimen“Saya tidak ada perincian berkenaan perbincangan Tun M dengan DAP. Keputusan ini melibatkan sistem demokratik bukan soal kita setuju atau tidak.

“Kalau rakyat setuju? Ini soal demokrasi, rakyat yang akan menentukan siapa yang menang dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2016, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Terdahulu, Tun Mahathir mendedahkan DAP pernah meminta jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya merampas kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, bahawa parti itu tidak mempunyai masalah sekiranya DAP berhasrat untuk memegang jawatan itu.

Zuraida menambah, keterbukaan itu adalah simbolik kepada meraikan kepelbagaian kaum yang terdapat dalam blok pembangkang.

-NFN-


Pengarang :