Selangorkini
NASIONAL

Banjir: Mangsa dipindah meningkat hampir 6,000

SHAH ALAM 1 JAN: Bilangan mangsa banjir di pantai timur semakin meningkat dengan mangsa dipindahkan di Kelantan dan Terengganu pagi ini.

Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,823 orang pagi ini berbanding 1,872 pada malam tadi

Manaka;a Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Terengganu bertambah pagi ini kepada 4,062 mangsa berbanding 3,292 mangsa setakat pukul 10 malam tadi.

Menurut laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, terdapat sembilan pusat pemindahan baharu dibuka yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 52 pusat pemindahan dibuka setakat jam  8 pagi ini.

Angka itu adalah peningkatan satu kali ganda berbanding semalam.

15740800_1187936817922946_1759020460849708338_n

Laporan terkini menerusi laman sesawang etindakan.terengganu.gov.my, daerah Hulu Terengganu mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,184 orang di 24 pusat pemindahan.

Daerah lain turut menunjukkan peningkatan perpindahan mangsa dengan Marang seramai 436 orang, Kemaman (419), Setiu (296), Besut (294) dan Dungun (113).

Menurut laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di portal publicinfobanjir.water.gov.my, tiga sungai yang melebihi paras bahaya ialah Sungai Telemong di Kuala Ping dekat Hulu Terengganu iaitu 20.59 meter berbanding paras bahaya 20.00 meter, Sungai Nerus di Kampung Langkap iaitu 21.68 meter berbanding paras bahaya 21.50 meter dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan iaitu 3.89 meter berbanding paras bahaya 3.00 meter.

Menurut portal itu, dua sungai di daerah Besut pula telah melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Besut di Kampung La iaitu 20.38 meter berbanding paras berjaga-jaga 19.8 meter dan Sungai Besut di Jambatan Keruak iaitu 33.24 meter melebihi paras berjaga-jaga 33.00 meter.

Dua sungai lain ialah Sungai Chalok di Setiu setinggi 7.30 meter berbanding paras berjaga-jaga 7.00 meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengah iaitu 19.74 meter berbanding paras berjaga-jaga 19.50 meter.

=EZY=


Pengarang :