Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir Sabak Bernam: Mangsa dipindah meningkat kepada 246

SABAK BERNAM 24 JAN: Seramai 246 penduduk daripada 74 keluarga di Sungai Lang dan Parit Baru di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas air naik di beberapa kawasan sejak malam tadi.

Setakat jam 3.00 petang hari ini, daripada jumlah berkenaan, seramai 114 mangsa ditempatkan di Dewan Sri Bernam di Sungai Besar manakala 132 lagi di Dewan Parit Baru.

Daripada jumlah berkenaan, 31 adalah warga emas, selain masing-masing lima bayi dan enam orang kurang upaya (OKU) terpaksa berlindung di pusat pemindahan banjir yang dibuka.

Sebelum ini air naik kira-kira 60 sentimeter di kawasan Sungai Air Tawar, Parit Baru dan Sungai Lang sejak malam tadi.

Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam serta Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sudah digerakkan bagi menangani bencana itu.

=EZY=


Pengarang :