Selangorkini
SELANGOR

Banjir Selangor: 215 mangsa dipindah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JAN: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 215 orang, dua pusat pemindahan baharu dibuka setakat jam 11 pagi tadi.

Menurut jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor, dua pusat pemindahan baru juga dibuka di Sepang.

Mangsa terbabit dipindahkan malam tadi selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Jumlah mangsa banjir di Sabak Bernam masih kekal lima orang terdiri daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar,” katanya.

Pada jam 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Selangor seramai 206 orang. Seramai 135 mangsa ditempatkan di Dewan Taman Gemilang dan 66 mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Ampar Tenang, Sepang.

Dalam pada itu, di Pahang jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 4,122 orang pagi ini berbanding 4,344 orang malam tadi.

Mereka yang terdiri daripada 1,115 keluarga itu melibatkan mangsa banjir di daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

Temerloh masih mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,423 orang daripada 363 keluarga.

Pekan pula merekodkan 1,116 orang (309 keluarga), Maran 1,055 orang (314 keluarga), Bera 490 orang (116 keluarga) dan Rompin 38 orang (13 keluarga).

Di Johor, seramai 1,390 mangsa banjir daripada 384 keluarga masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara di tiga daerah setakat jam 8 pagi tadi.

Segamat, seramai 982 mangsa daripada 264 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara, Tangkak (25 mangsa) dan Muar (383 mangsa).

=EZY=


Pengarang :