Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Beri insentif pemaju jayakan program bandar rendah karbon

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan Persekutuan dan Negeri disaran menyediakan insentif kepada pemaju dalam melaksanakan pembangunan ke arah menjayakan matlamat bandar rendah karbon di negara ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, insentif seperti pengurangan cukai serta barangan berkaitan pembinaan adalah galakan kepada pemaju untuk bekerjasama dalam program berkenaan.

“Pada pandangan saya, kalau terdapat insentif daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, maka pihak pemaju akan memberi kerjasama baik.

MBSA Zaharin“Bagaimanapun, ia tidak pernah disentuh dan dinyatakan tiga pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017, di sini, hari ini.

MBSA menetapkan sasaran menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030.

Beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan pihaknya bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), namun ia belum disentuh kementerian terbabit bersama kementerian lain yang berkaitan.

“Saya rasa, sekiranya terdapat insentif yang sesuai, maka kerjasama baik akan diberikan pemaju dalam menjayakannya.

“Ini kerana tanpa insentif sedemikian, pemaju akan mengenakan bayaran agak tinggi yang perlu ditanggung pembeli. Bagi MBSA, kita akan berusaha memikir kaedah sesuai berhubung perkara itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :