Selangorkini
SELANGOR

Bicara saman fitnah Zuraida terhadap Jamal 15 Nov

KUALA LUMPUR 24 JAN: Perbicaraan kes saman fitnah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos ditetapkan pada 15 November depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, S.Nantha Balan menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Melissa Sasidaran mewakili Zuraida dan Mohammed Nasser Yusof bertindak bagi pihak Jamal.

“Pihak defendan (Jamal) juga telah memfailkan memorandum kehadiran melalui peguamnya. Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan lanjut kes ini,” kata Melissa lapor BERNAMA.

Pada 17 November tahun lalu, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Zuraida mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online, termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai Ahli Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

=EZY=


Pengarang :