Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI

BNM: Rizab antarabangsa turun kepada AS$94.6 bilion

SHAH ALAM 7 JAN: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan rizab antarabangsa setakat 30 Disember 2016 pada paras AS$94.6 bilion (RM423.10 bilion), lebih rendah berbanding AS$96.4 bilion (RM431.15 bilion) pada 15 Disember.

Menurut BNM dalam satu kenyataan semalam, paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 1.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Katanya, paras rizab itu mengambil kira pelarasan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing, dan terus disokong oleh lebihan akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

“Bagaimanapun, ini diimbangi oleh pelaburan langsung di luar negeri oleh syarikat Malaysia dan aliran keluar semula sebahagian pelaburan portfolio bukan pemastautin,” kata BNM.

Rizab Malaysia turun ke paras rendah lapan bulan pada akhir bulan November, ketika BNM mengenakan langkah untuk meningkatkan kecairan dan menggalakkan dagangan ringgit dalam negeri.

Ia dalam usaha untuk mengekang kejatuhan matawang terhadap dolar AS yang semakin meningkat.

Pada 2016, ringgit merosot kira-kira 4.3 peratus berbanding dolar AS.

=EZY=


Pengarang :