BR1M beli Proton Iriz bagai mimpi siang hari | Selangorkini


BR1M beli Proton Iriz bagai mimpi siang hari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JAN: Idea membeli kereta Proton Iriz dengan menggunakan wang diterima daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai bermimpi di siang hari.

Mantan Timbalan Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini berikutan lazimnya golongan penerima bantuan itu lebih mengutamakan keperluan harian lain lebih mendesak seperti perbelanjaan barangan dapur dan perbelanjaan anak bersekolah.


“Tak munasabah dan tak praktikal kerana BR1M memang orang nak gunakan untuk beli barang makanan dan barangan keperluan lain seperti perbelanjaan anak bersekolah.

“Biasanya mereka membeli beras, tepung, gula, bayar bas sekolah, belanja sekolah anak dan sebagainya. Kalau ditambah juga jumlah BR1M, mereka tetap beli barang asasi mustahak dahulu bukan nak beli kereta Iriz untuk jadi pemandu Uber, ini memang mimpi di siang hari,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Katanya, orang ramai yang berminat menjadi pemandu Uber atau Grab Car boleh melakukannya dengan menggunakan kereta yang sedia ada asalkan mencukupi syarat ditetapkan seperti kondisi kereta berkeadaan baik dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak sekiranya cadangan itu dilaksanakan menerusi satu skim khas lain yang lebih munasabah dan tidak menyebabkan penerima terpaksa menambah hutang besar diluar kemampuan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pada sidang media di Putrajaya pada Khamis lalu berkata penerima BR1M yang tidak memiliki kereta boleh menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli kereta Proton Iriz supaya mereka boleh menjana pendapatan sebagai pemandu Uber atau Grabcar.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next