Selangorkini
NASIONAL

Bubar Kementerian Wilayah Persekutuan boleh jimat lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Persekutuan dicadang membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mempunyai tugas bertindih dengan pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata demikian susulan keputusan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk menutup 14 pejabat pelancongan itu ekoran pertindihan kerja dengan agensi sektor berkenaan di setiap negeri.

“Atas sebab itu, Kementerian Wilayah Persekutuan juga wajar dibubarkan serta merta dan peruntukan RM1.161 bilion bagi 2017 boleh diagihkan atau dibelanjakan untuk membina rumah mampu milik untuk pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini kerana kementerian tersebut sebenarnya tidak ada kerja pun, selain hadir ke acara rasmi untuk faedah liputan media. Tugasnya juga bertindih dengan tiga pihak berkuasa tempatan di Putrajaya, KL dan Labuan,” kata Lip Eng dalam kenyataan hari ini.

Katanya kementerian itu yang kini dibawah kelolaan menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pernah dibubarkan oleh kerajaan sebelum ini, namun dihidupkan semula oleh Tun Abdullah Badawi ketika menjawat jawatan perdana menteri.

“Ini jelas menunjukkan kementerian itu suatu pertindihan dan hanyalah suatu makhluk politik yang memberi faedah kepada pihak-pihak tertentu sahaja,” katanya.

Sebelum ini pejabat Tourism Malaysia seluruh negara diarah ditutup serta merta dan semua kakitangan serta pegawainya diserap ke ibu pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atau agensi lain kementerian berkenaan.

Langkah itu, menurut beliau, dijangka mampu menjimatkan kos hampir RM6 juta setahun.

=EZY=


Pengarang :