Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

‘Buru’ pesalah 1MDB hingga lubang cacing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang senada dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk mengheret pesalah 1MDB ke muka pengadilan walaupun terpaksa mencari individu tersebut hingga ke lubang cacing.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terus berdiam tanpa melakukan sebarang tangkapan terhadap individu terlibat dengan skandal rasuah itu.

Beliau berkata, kegagalan tersebut memburukkan imej negara di mata dunia sehingga nama Malaysia menerima jolokan negara ‘kleptokrasi global’ susulan skandal kewangan 1MDB, yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

limkit siang-markshort“Mengapa Kabinet tidak berbuat apa-apa untuk selesaikan skandal 1MDB sepanjang tiga tahun ini sehingga menyebabkan wujud krisis kepercayaan dalam aspek politik, ekonomi dan pembangunan negara?

“Saya tidak percaya bahawa rakyat Malaysia yang patriotik akan berdiam diri ketika negara digelar sebagai ‘kleptokrasi global’,” katanya menerusi kenyataan dipaparkan portal RoketKini.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir dalam ucaptama Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut menyatakan komitmen sama sebagai usaha menyelesaikan kemelut syarikat milik kerajaan itu.

Tun Dr Mahathir berkata, sekiranya tampuk pemerintahan beralih kepada komponen pembangkang, skandal 1MDB akan diselesaikan sebagai jaminan memulihkan kembali imej negara.

Media antarabangsa melaporkan, sejumlah wang daripada dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri bagi tujuan peribadi.

-NFN-


Pengarang :