Selangorkini
NASIONAL

“Datuk Seri TPM, tolong jangan buat-buat terkejut”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 JAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak berpura-pura terkejut jika ada pihak organisasi bukan kerajaan (NGO) menjalankan gerakan untuk menjatuhkan beliau.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, hal ini berikutan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan hari ini menyebabkan semua pihak ingin melihat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keseluruhan organisasi pimpinannya tersungkur.

“Tiada apa yang pelik bila ada cubaan nak menjatuhkan beliau kerana majoriti rakyat memang nak melihat Perdana Menteri dengan semua pihak dalam Umno- Barisan Nasional (BN) dan sekutunya termasuk Timbalan Perdana Menteri dijatuhkan.

“Jadi, saya kira Datuk Seri Ahmad Zahid janganlah terkejut sangat bila ada NGO nak jatuhkan dia kerana memang semua orang nak jatuhkan dia dengan Perdana Menteri dan BN sekali sekarang ini” kata Tian Chua ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, ini berikutan kerajaan pimpinan Najib ketika ini terlibat dengan pelbagai skandal termasuk Najib sendiri yang dikaitkan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, skandal yang merugikan negara itu memberi kesan kepada ekonomi negara dan sekaligus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat terbanyak.

Katanya lagi, akibat kecurangan BN itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang besar sebelum mengalihkan bebanan itu kepada rakyat dengan mengenakan cukai membebankan dan memotong peruntukan sektor berkepentingan kepada rakyat.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataannya mendakwa terdapat NGO di negara ini yang menjalankan gerakan untuk menjatuhkan beliau.

=EZY=


Pengarang :