Selangorkini
NASIONAL

DBKL tuntut ganti rugi pokok, BERSIH enggan bayar

SHAH ALAM: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) tidak akan membayar tuntutan ganti rugi RM34,150 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran himpunan yang diadakan di ibu negara pada November lalu.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah menyifatkan bil itu sebagai ‘mengarut’ dan pihaknya mahu mengetahui bagaimana DBKL menyimpulkan bil itu sebagai jumlah kerosakan pokok

“Mereka tidak sepatutnya mengenakan bayaran itu kepada kami. Kami hanya melaksanakan hak kebebasan berhimpun,” lapor Free Malaysia Today.

Menerusi akaun Twitter, BERSIH 2.0 hari ini memuat naik salinan surat DBKL bertarikh 27 Disember tahun lalu, mendesak NGO itu membayar RM34,500 kerana merosakkan 3,300 pokok sekitar Jalan Ampang.

“Betulkah mereka ada sebanyak itu pokok di Jalan Ampang? Saya tidak tahu ada sebanyak itu,” katanya.

BERSIH - DBKLDBKL mengarahkan Bersih dan Baju Merah membayar bil itu dalam tempoh 2 minggu, berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang jika kedua-dua penganjur berkenaan gagal berbuat demikian.

“Tidak ada keperluan untuk kami bayar, keputusan mahkamah juga berpihak kepada kami yang kerajaan tidak boleh tuntut ganti rugi kerosakan yang berlaku dalam himpunan,” katanya.

Beliau memetik keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang menyatakan tiada peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman membenarkan kerajaan membuat tuntutan ganti rugi berhubung kerosakan seperti itu.

-nR-


Pengarang :