Selangorkini
SELANGOR

LUAS beri amaran selesai pencemaran Sungai Langat

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 JAN: Pihak terlibat bagi projek Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE) diminta mengambil tindakan segera menyelesaikan isu pencemaran di Sungai Langat.

Ketua Penolong Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zambri Sondor berkata, isu kekeruhan di Sungai Langat berpunca daripada kerja tanah tanpa kawalan di lembangan sungai.

Katanya, kekeruhan sungai yang berlaku sejak lima hari lalu sekali gus meningkatkan bacaan sehingga 14,150 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) bagi Sungai Sab, manakala di Sungai Michu mencecah 6,500 NTU.

“Selepas siasatan dibuat, LUAS mendapati kekeruhan itu berpunca daripada projek EKVE yang menjadi lebih teruk apabila hujan turun,” katanya ketika melawat Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Langat, di sini.

mugshotPada masa sama, Nor Zambri berkata, pencemaran itu menyebabkan loji terbabit tidak dapat mengeluarkan bekalan air 20 juta liter sehari (JLH).

Malahan, katanya, ia menyebabkan 12 kawasan di Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air.

“LUAS sudah menghantar notis kepada EKVE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah 41 (3) (g) dan (e) Enakmen LUAS 1999.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 41 (4) Enakmen LUAS 1999 dengan denda RM50,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika mereka gagal,” katanya.

-AA-


Pengarang :