Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Enam negeri catat peningkatan denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Kes demam denggi mencatatkan peningkatan di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan, pada minggu ke-3 tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2,053 kes dilaporkan di semua negeri itu dengan peningkatan 177 kes (9.43%) berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya (8 hingga 14 Januari), bagi tempoh 15 hingga 21 Januari.

Katanya, enam kematian dilaporkan daripada jumlah itu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian di seluruh negara 13 kes berbanding 23 dalam tempoh sama, tahun lalu.

aedes“Jumlah kumulatif kes deman denggi dari 1 hingga 21 Januari lalu adalah 5,592 kes iaitu penurunan 46.7 peratus (4,890 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 10,482 kes,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan kadar pembiakan Aedes jika takungan air dibiarkan tanpa diperiksa dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kawasan tempat kediaman pesakit yang meninggal itu sama ada lokasi wabak atau yang mempunyai kadar pembiakan tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan jangkitan virus Zika, beliau berkata berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 20 Januari lalu jangkitan yang turut dibawa nyamuk Aedes dilaporkan di 76 negara.

Di Malaysia, bilangan kes positif Zika yang dilaporkan dari 1 September sehingga 31 Disember lalu adalah lapan.

Beliau berkata, pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 hingga 21 Januari lalu, mendapati hasil ujian 97 sampel darah dan air kencing daripada pesakit yang menunjukkan simptom virus Zika adalah negatif.

-NFN-


Pengarang :