FAS mampu bayar gaji dan bonus pemain | Selangorkini


FAS mampu bayar gaji dan bonus pemain

OLEH AMIRUDIN SHARI

Nampaknya jelas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui kenyataan Setiausaha Agung FAS hari ini masih berusaha untuk menenggelamkan kenyataan bahawa mereka gagal mengurustadbir persatuan dengan baik dengan berterusan memainkan isu gaji dan bonus pemain.

Dalam pengetahuan saya, FAS mempunyai lebih kurang RM 2.5 juta selepas menjual beberapa pemain kepada negeri dan kelab bolasepak lain. Ini jika dikira pada tahun 2016 adalah bermula dengan penjualan Mohd Azrif Nasrulhaq diikuti Ahmad Hazwan Bakri dan juga R. Gopinathan ke JDT.


Ini tidak termasuk penjualan Shahrom Kalam dan Mohd Hafiz Kamal ke pasukan Perak. Kesemua mereka masih lagi mempunyai baki kontrak ketika berhijrah. Persoalannya ke mana perginya wang tersebut ?

Saban tahun, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan peruntukan tahunan kepada FAS. Ini bermakna wang hasil jualan dan perpindahan pemain serta jualan tiket penting iaitu dua perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dan 2016 tidak pernah diusik. Ini belum diambil kira kutipan tiket perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Saya sedar strategi menggunakan desakan pemain di media cetak adalah bertujuan mewujudkan satu persepsi bahawa Y.A.B Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden Persatuan yang tidak bertanggungjawab tetapi bersediakah FAS untuk telus kepada Kerajaan Negeri dan rakyat dengan membentangkan hasil penjualan pemain dan kutipan tiket sepanjang 2015 dan 2016 malah pada masa yang masih lagi menggunakan peruntukkan dana dari Kerajaan Negeri?

Penamatan kontrak Saudara Zainal Abidin Hassan pula adalah setelah mengambil kira prestasi semasa Selangor ketika itu yang merudum dan Y.A.B Presiden merasakan bahawa pasukan mesti diselamatkan.

Menjadi tanggungjawab dan kecekapan seorang Setiausaha Agung yang berwibawa membuat tindakan susulan di atas pengumuman Presiden hatta melalui laman sosial sekalipun.

Rosman Ibrahim tidak berusaha untuk menasihati Y.A.B Presiden malah umum mengetahui apa yang berlaku pada Mesyuarat Exco pada Ogos yang sepatutnya membincangkan hal-hal berbangkit seperti ini.

Justeru, menggunakan sentimen tidak membayar gaji dan bonus serta pampasan adalah satu tindakan kurang bijak di saat sepatutnya Persatuan memiliki keupayaan kewangan untuk menyelesaikannya.

Mungkin FAS berminat untuk berkongsi ketelusan pengurusan kewangan mereka dengan penyokong dan menjelaskan bagaimana perbelanjaan persatuan diuruskan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next