Selangorkini
SUKANKINI

FAS ‘tiada’ duit, tapi beli pemain baru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dilaporkan membeli beberapa pemain import baru dipersoal apabila isu tunggakan gaji dan bonus pemain masih tergantung.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari berkata, FAS sepatutnya menyelesaikan isu itu terlebih dahulu sebelum beranjak kepada perkara lain.

“Kita konsisten dengan pendirian sebelum ini bahawa mereka (FAS) mempunyai kewangan mencukupi setelah menjual beberapa pemain ke pasukan lain untuk melangsaikan apa yang patut.

“Isunya sekarang mereka (pemain) harus selesaikan dengan FAS. FAS tunjuk mereka tak ada kantung (dana). Oleh itu, mereka haruslah datang berjumpa kerajaan negeri untuk memohon.

“Tetapi dengan persiapan beli pemain baru dan ambik pemain import, boleh pula,” katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jersi 2017 dan Bas PKNS FC di Laman PKNS, Shah Alam, semalam.

Mengulas bayaran pampasan kepada bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, Amirudin berkata, beliau akan merujuk perkara berkenaan kepada Dato’ Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya.

“Untuk bab Zainal, masih ada kontrak setahun lagi, jadi saya boleh minta atas ehsan Menteri Besar.

“Walaubagaiman pun isunya bagi saya, mereka harus selesaikan dengan pihak FAS, jadi saranan Kerajaan Negeri supaya mereka selesaikan dulu hutang sebelum selesaikan perkara lain adalah tepat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :