Selangorkini
SELANGOR

FOMCA: Kerajaan digesa tangguh kenaikan barangan & perkhidmatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Persekutuan perlu menangguhkan sebarang kenaikan harga barangan mahupun tarif perkhidmatan ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat tahun ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu kerana beberapa isu kenaikan harga barangan yang diumumkan.

Katanya, selain isu peningkatan harga barangan, nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan.

“Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kerajaan diharapkan dapat menangguhkan kenaikan atau tarif perkhidmatan.

“Kita menjangkakan kos sara hidup menjangkakan kos sara hidup pada tahun ini meningkat berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Abdul Rahman berkata rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu supaya ia tidak memberi kesan besar dalam kehidupan seharian.

“Sebagaimana laporan persatuan majikan, mereka turut menjangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan. Jadi rakyat perlu bersedia.

YUSOF FOMCA“Biasanya apa yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup adalah daripada segi peningkatan harga, tidak kira barangan atau perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan patut menyelesaikan permasalahan berlaku seperti nilai ringgit yang masih rendah.

“Jika masalah ini dapat diatasi, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, rakyat dinasihatkan menguruskan hal kewangan dengan baik.

“Apa juga pendapatan yang kita ada, ia harus digunakan dengan baik sebagai langkah bersiap sedia.

“Rakyat perlu berbelanja secara bersederhana dengan hanya membeli barangan keperluan tertentu sahaja dan selebihnya disimpan kerana kita tidak dapat meramal apa yang berlaku pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :