Selangorkini
EKONOMI

Harga getah dijangka naik minggu depan

KUALA LUMPUR 29 JAN: Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat lagi minggu depan susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang berterusan, kata peniaga.

Peniaga berkata, banjir yang berlaku di negara pengeluar getah asli terbesar dunia, Thailand, dijangka menjadi faktor kepada kenaikan harga, dengan permintaan yang kekal kukuh.

“Jika SMR (Getah Mutu Malaysia) 20 mula mencatat asas kukuh pada 1,000 sen sekilogram, pasaran mungkin menyaksikan harga berada dalam aliran tinggi mulai minggu depan.

“Sokongan pada 1,000 sen sewajarnya bertahan dengan baik, namun kebanyakan peniaga telah bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Jadi, pasaran boleh diniagakan lebih tinggi sedikit atau berjajaran kecil,” katanya lapor BERNAMA.

Pasaran tempatan, yang memulakan minggu dengan prestasi bercampur-campur, memperoleh momentum dan pada dagangan separuh hari pada Jumaat, SMR 20 yang menjadi penanda aras bagi piawaian tayar, mencecah paras 1,005.5 sen sekilogram.

Ia adalah paras tertinggi sejak 2012.

Harga tertinggi SMR 20 pada tahun berkenaan adalah 1,139 sen sekilogram iaitu pada 26 Januari 2012, manakala harga tertinggi yang pernah dicatat adalah melepasi paras 1,700 sen sekilogram (Februari 2011).

Harga purata bulanan pada Januari 2017 bagi SMR 20 adalah 951.84 sen sekilogram, SMR 10 pada 953.84 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 705.37 sen sekilogram.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia pada tengah hari bagi gred tayar SMR 20 melonjak 55.5 sen kepada 1005.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal meningkat 48.5 sen kepada 800.5 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang bagi gred tayar SMR 20, yang dibandingkan berasaskan Jumaat ke Khamis, melonjak 75.5 sen kepada 999.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal meningkat 43 sen kepada 794 sen sekilogram.

Pasaran masih ditutup pada Isnin sempena cuti umum Tahun Baharu Cina yang disambut pada Sabtu dan Ahad.

Dagangan akan dibuka semula pada Selasa.

=EZY=


Pengarang :