Selangorkini
EKONOMI

Harga minyak dunia akhiri Januari lebih rendah

SINGAPURA 31 JAN: Harga minyak mentah Brent jatuh kira-kira lima peratus daripada paras tertinggi awal Januari apabila peningkatan aktiviti cari gali di Amerika Syarikat (AS) mengimbangi usaha oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain mengurangkan output bagi mengukuhkan pasaran.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa harga minyak, diniagakan pada AS$55.25 satu tong pada 0112 GMT, hampir tidak berubah daripada penutup terakhirnya.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.58 setong, turun lima cent daripada penutup terakhirnya.

Bagaimanapun, Brent susut lima peratus sejak paras kemuncaknya awal Januari manakala WTI jatuh 2.5 peratus, mencerminkan sentimen bahawa usaha OPEC untuk memotong output sebanyak 1.8 tong sehari (bpd) bagi mengakhiri lambakan pengeluaran setakat ini tidak mencukupi untuk mengimbangi aktiviti cari gali AS.

“Harga minyak mentah terus berdepan masalah apabila pelabur kekal bimbang dengan peningkatan aktiviti cari gali di AS,” kata ANZ Bank.

Selepas beberapa bulan aktiviti cari gali meningkat, pengeluaran minyak AS bertambah sebanyak 6.3 peratus sejak Julai tahun lalu kepada hampir sembilan juta bpd, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS.

Bank AS, Goldman Sachs menganggarkan bahawa pengeluatan minyak tahunan AS akan meningkat sebanyak 290,000 bpd pada 2017, jika aktiviti cari gali yang masih belum beroperasi dikira sekali.

=EZY


Pengarang :