PBT SELANGOR

Hasil cukai MDKS catat peningkatan memberangsangkan

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 25 JAN: Dalam tempoh lima tahun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di bawah pimpinan Yang Di Pertua (YDP) nya, Noraini Roslan berjaya memastikan 99.2 peratus penduduk membayar cukai.

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan memberangsangkan berbanding hanya 64 peratus yang berbuat demikian pada 2011.

Katanya, kejayaan itu didorong mutu perkhidmatan MDKS yang ditingkatkan untuk kemudahan pembayar cukai.

“Daripada respon diterima, penduduk kini berpuas hati dengan perkhidmatan MDKS dan memberi bekerjasama baik untuk membayar cukai.

“Dengan ini, peningkatan wang hasil dapat kita gunakan untuk pembangunan lain seperti pembinaan tiga dewan baru, gelanggang, taman bandar dan pembangunan Pantai Remis,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2017 dan Perasmian Pusat Sumber Taman Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil baru turut diperoleh daripada projek pembangunan serta lesen perniagaan.

“Kita harapkan sumber kilang dan perniagaan baru kerana bayaran lebih tinggi selain kita turut dapat bantuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga peroleh sumber daripada perlesenan perkara tidak dilesenkan sebelum ini seperti burung walit, warung tepi jalan utama dan lain-lain,” katanya.

MDKS NorainiMula bertugas pada 1 Julai 2011, Noraini bakal menamatkan perkhidmatannya di MDKS pada penghujung Januari ini.

Bermula 1 Februari 2017, beliau akan mula berkhidmat sebagai YDP di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pula.

Selepas ini, MDKS bakal dipacu YDP baru iaitu Mohd Azhar Mohamed Ali yang kini bertugas di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

=EZY=


Pengarang :