Selangorkini
SELANGOR

Jangan lepaskan peluang sertai Peduli Sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 16 JAN: Masyarakat di Selangor diseru supaya tidak melepaskan peluang menyertai skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2017.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM125 juta bagi membantu rakyat negeri itu meringankan tanggungan masing-masing untuk mendapatkan rawatan ketika memerlukan.

“Rakyat perlu mengambil manfaat daripada usaha Kerajaan Negeri ini di mana setiap keluarga diperuntukan sebanyak RM500 untuk mendapat rawatan di klinik dalam Selangor,” katanya pada Program Exco Turun Padang di Dewan Pangsapuri Kuang Raya di sini, semalam.

AMIRJelasnya, Kerajaan Negeri berusaha sedaya mungkin bagi memastikan rakyat di negeri itu memperolehi manfaat daripada kekayaan dimiliki negeri itu termasuk golongan mendiami kediaman bertingkat.

“Exco Perumahan sendiri melakukan pelbagai perkara untuk memastikan taraf kehidupan di pangsapuri lebih baik,” katanya lagi.

Sementara itu dalam program turun padang yang berlangsung sepanjang hari itu turut dihadiri Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita & Keluarga, Dr Daroyah Alwi; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

Dalam program itu, masyarakat setempat berpeluang mengemukakan pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan kediaman masing-masing.

-nR-


Pengarang :