Selangorkini
SONY DSC
BERITA UTAMA SELANGOR

Jejantas New Express Way manfaat penduduk DUN Taman Medan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Pembangunan jejantas kedua New Express Way menghubungkan kawasan Petaling Jaya Selatan 1 (PJS 1) dan Seksyen 1 bakal memberi manfaat kepada penduduk Dun Taman Medan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Haniza Talha berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan lanjutan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi tujuan pembinaan jejantas baru itu.

“Kita sudah membuat perbincangan bersama Exco Infrastruktur untuk membina jejantas ini dan dimaklumkan MBPJ melalui Dato’ Bandar berkemampuan untuk menyediakan fasiliti ini.

HANIZA“Untuk tempoh ini, kita dimaklumkan permohonan sudah diterima dan perbincangan masih dibuat sebelum sebarang proses pembangunan dilaksanakan demi kepentingan penduduk.

“DUN Taman Medan berharap permohonan ini akan mendapat maklum balas positif memandangkan kebanyakan penduduk daripada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Terdahulu, Haniza berkata, kebanyakan pengguna jejantas sedia ada adalah penunggang motosikal dan tidak lagi dapat menampung kepadatan pada waktu puncak.

Beliau berkata, laluan tersebut digunakan sebagai laluan alternatif penduduk untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama perbandaran Petaling Jaya.

“Pembangunan jejantas kedua ini bukan sahaja menjimatkan masa pengguna jalan raya, ia juga diiyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk DUN Taman Medan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :