Selangorkini
NASIONAL RENCANA PILIHAN

JKJR Selangor agih 65 topi keledar, 800 cenderahati sempena Tahun Baru Cina

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 26 JAN: Sebanyak 50 topi keledar dewasa dan 15 topi keledar kanak-kanak diagihkan kepada penunggang serta pembonceng motosikal dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2017.

Sebanyak 800 beg cenderahati turut diagihkan kepada pengguna jalan raya ketika sesi interaksi dan khidmat nasihat bagi menyuntik kesedaran mereka berkenaan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan setiap masa.

Manakala, 30 jaket pantulan cahaya juga diagihkan kepada penunggang motosikal bagi meningkatkan tahap kebolehlihatan dalam kalangan pengguna.

Kempen terbabit dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pengurusan, Dato’ Mazlan Md Noor di Plaza Batu 11 Cheras- Kajang, di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohammad Fakhri Mansor berkata, kempen itu bertujuan menyuntik kesedaran berkenaan keselamatan ketika berada di jalan raya, sekali gus mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang berlaku sepanjang musim perayaan kali ini.

jkjr1“Menerusi pembabitan pelbagai agensi diharapkan kadar kesedaran keselamatan ketika berada di jalan raya akan meningkat. Ia sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang berlaku musim perayaan kali ini,” katanya.

Fakhri berkata, polis dan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah strategik dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan juga kematian jalan raya.

“Ops Selamat bermula 21 Januari lalu hingga 5 Februari ini sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan. Tahun lalu, Ops Selamat mencatatkan 5,247 kes iaitu peningkatan 248 kes, berbanding tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata, JPJ turut melaksanakan penguatkuasaan tujuh kesalahan utama tanpa kompaun bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya dalam operasi bersepadu Tahun Baru Cina 2017.

Tujuh kesalahan utama itu membabitkan gagal mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan bagi bas dan kenderaan perdagangan.

“Malah, advokasi yang dijalankan JKJR sepanjang tempoh perayaan adalah bukti keseriusan pihak yang terbabit dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya khususnya Selangor,” katanya.

Dalam kempen bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, Malaysia Automotive Institute (MAI) turut menyediakan taklimat berkaitan pemeriksaan asas kenderaan bagi menerapkan budaya pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

Hal itu kerana kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

-NFN-


Pengarang :

Related posts

Dr Halimah: Lebih RM 76 juta Diberi Kepada SAR, SJKC dan SJKT

fairuz tahir

Mohammad dilantik Pengerusi SPNB baharu

Hafizan Taib

Sultan Selangor puji politik negeri