BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan terus meningkat

KOTA BHARU, 5 JAN: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 12,636 berbanding 12,400, sehingga jam 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, 62 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 4,307 keluarga di lapan jajahan negeri itu.

Katanya, jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas ialah 8,679 orang daripada 3,131 keluarga, 1,965 (649 keluarga) di pusat pemindahan jajahan Tumpat, manakala 715 lagi (184 keluarga) di lima pusat pemindahan di jajahan Kota Bharu.

“Di jajahan Tanah Merah terdapat 314 orang (79 keluarga) ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, 40 (8 keluarga) di pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai dan 568 (160 keluarga) di empat pusat pemindahan di jajahan Pasir Puteh.

“Manakala 245 orang (68 keluarga) di enam pusat pemindahan di jajahan Machang dan di jajahan Bachok terdapat 110 (28 keluarga) di sebuah pusat pemindahan,” katanya lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, katanya, cuaca baik sejak semalam dijangka akan mengurangkan jumlah mangsa banjir di Kelantan, hari ini.

Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m), namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi tadi.

-AA-


Pengarang :