Selangorkini
NASIONAL

Najib elok bercakap depan cermin sebelum nasihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar bercakap di hadapan cermin ketika mengingatkan penjawat awam supaya tidak mengambil dana rakyat.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, hal ini kerana Najib sendiri paling banyak dikaitkan dengan skandal membabitkan dana rakyat berbilion ringgit.

“Peringatan perdana menteri supaya penjawat awam jangan ambil duit rakyat harus disampaikan juga kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB), termasuk diri beliau sendiri.

“Ini kerana pelbagai siasatan juga pendakwaan terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam penyelewengan duit rakyat membabitkan dana 1MDB sedang dilakukan di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang masih membebaskan individu terlibat dalam skandal terbesar negara itu.

FAHMIFahmi berkata, situasi itu sama sekali berbeza dengan Singapura yang menahan pegawai bank ekoran terlibat dalam urusniaga membabitkan 1MDB.

“Malangnya di Malaysia, sehingga kini pihak bertanggungjawab masih tidak menunjukkan keberanian membawa mereka yang terlibat dengan skandal ini ke muka pengadilan,” katanya.

Terdahulu, Najib menyeru supaya penjawat awam di negara ini tidak mencuri duit rakyat apabila terbabit dengan pelbagai rasuah kerana tindakan itu merugikan negara.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu dipandang sinis masyarakat ekoran beliau sendiri terlibat dengan pelbagai skandal sehingga digelar ‘bapa kleptokrasi’.

-AA-


Pengarang :