Kelab Penyokong Selangor mahu Jamal tak huru-hara FAS | Selangorkini


Kelab Penyokong Selangor mahu Jamal tak huru-hara FAS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 JAN: Dato’ Seri Jamal Yunos dinasihati agar menyimpan sahaja hasratnya untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kerana ia bakal mengundang keadaan huru-hara terhadap persatuan berkenaan.

Pesanan itu dilontarkan Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN) yang berharap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tidak mempolitikkan kemelut yang berlaku kepada FAS ketika ini.


Penaungnya, Dato’ Adam Rosly, berkata adalah jelas kesediaan Jamal untuk mengetuai FAS sesuatu menghairankan ekoran selama ini tidak pernah mengambil maklum mengenai perkembangan bola sepak.

“Nasihat saya mudah, sudah-sudahlah memasang angan dan cuba menangguk di air keruh. Kemelut FAS ini tidak wajar dipolitikkan dan usahlah seorang ahli politik picisan seperti beliau menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk menjadi popular.

RED-GIANTS-660x471“Tindakan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin Shari mengumumkan untuk tidak bersama FAS tidaklah bermakna persatuan ini harus dipimpin individu sembarangan dan menjadi alat politik orang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jamal menyerahkan surat rasmi kepada FAS berhubung perkara itu ketika mengunjungi pejabat persatuan itu di Kelana Jaya, semalam.

Beliau berkata, dakyah Jamal hendak membawa bolasepak Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim adalah satu kenyataan lucu.

Ini kerana, katanya, peminat bola sepak sebagai penyokong setia mengetahui kedua-dua pasukan berada pada kelas tersendiri dan berada pada era kegemilangan masing-masing.

“Lagipun, mengenang sejarah Sekinchan Ikan Bakar sudah cukup menunjukkan Jamal bukanlah calon sesuai untuk mengemudi FAS ke tahap lebih baik.

“Fahamilah bahawa FAS ini perlu dirombak sepenuhnya bukan sekadar tukar Presiden sahaja.

“Jangan jadikan The Red Giants modal politik dan tempat mengasah bakat badut serta parasit,” katanya.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next