Selangorkini
GLOBAL

Kerugian banjir Selatan Thailand dianggar 120 bilion bath

BANGKOK 18 JAN: Kerugian ekonomi dianggarkan mencecah 120 bilion baht (RM15 bilion) ekoran banjir yang melanda di wilayah Selatan Thailand.

Bangkok Post melaporkan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Thailand Vichai Assarasakorn berkata kerugian boleh meningkat kepada 85 bilion-120 bilion baht (bersamaan dengan 0.5-0.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar).

Katanya jumlah kerugian itu sekiranya banjir masih berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kerana ia menjejaskan ladang getah dan kelapa sawit.

Pokok getah akan mati jika terendam dalam air dalam tempoh 20 hari dan kelapa sawit mati jika dibanjiri dalam tempoh sebulan.

Vichai berkata banjir turut menjejaskan industri ternakan yang menyebabkan penternak menanggung kerugian besar.

Selatan Thailand adalah wilayah pengeluar utama getah dan kelapa sawit.

Sebahagian besar wilayah itu ditenggelami air banjir sejak tiga minggu lepas selepas hujan berterusan dalam kejadian banjir dianggap terburuk dalam tempoh lima puluh tahun.


Pengarang :