Selangorkini
SELANGOR

Kes demam denggi menurun, penduduk disaran terus musnah habitat nyamuk

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 JAN: Sejumlah 394 kes demam denggi dicatatkan pada minggu epid pertama hingga ketiga di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang DiPertuanya, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding dengan minggu epid yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 737 kes.

Katanya, Seri Serdang mencatatkan lima lokaliti bagi hotspot demam denggi.

“Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara adalah satu-satunya lokaliti hotspot denggi yang melebihi 100 hari dengan jumlah 40 kes didaftarkan.

ydp mpsj“Tempoh hotspot berlarutan sehingga 153 hari. Aktiviti cari dan musnah telah dijalankan sebanyak 4 kali dan terkini pada 22 Januari yang lalu,” katanya di mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

Nor Hisham mengingatkan penduduk menjalankan kerja pembersihan kawasan rumah dan pangsapuri.

Katanya, bekas boleh menakung air hendaklah sentiasa dicuci dan dibersihkan supaya tidak menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Sementara itu, dalam laporan penguatkuasaan isu sampah haram, sehingga bulan Disember 2016 sebanyak 202 Notis Tawaran Kompaun (NTK) dikeluarkan dan 12 sitaan kenderaan dilakukan.

Katanya, sebanyak 61 NTK dikeluarkan di bawah Seksyen 4 (Kesalahan membuang apa-apa sampah di tempat awam), 93 NTK di bawah Seksyen 6 (Kesalahan tidak menyediakan tong sampah di premis perniagaan) dan 48 NTK di bawah Seksyen 12 (Kesalahan membuang buangan perindustrian dan buangan dagangan yang ditetapkan.

Kesemua NTK ini dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (UUK PPPS) MPSJ 2007.

“MPSJ akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap aktiviti pembuangan sampah di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.

-nR-


Pengarang :