Selangorkini
SELANGOR

Kilang diserbu disyaki curi air

SHAH ALAM, 24 JAN: Sebuah kilang sarung tangan di Pelabuhan Klang diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam kerana disyaki melakukan sambungan bekalan air tidak sah melibatkan kerugian kira-kira RM2.7 juta.

Operasi dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berikutan aduan penyambungan haram dilakukan kilang berkenaan didapati mencuri kira-kira 1.2 juta meter padu (m3) air.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lim Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya membuat risikan selama empat bulan dan mengesan kilang tersebut membayar bil kurang daripada jumlah asal RM50,000 sebulan

“Syarikat berkenaan hanya membayar RM4,000 sebulan yang tidak memadai dengan saiz kilang serta jumlah 800 pekerja di asrama yang tinggal di situ.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat satu sambungan yang haram dibuat secara terus daripada paip utama Syabas berukuran 20 meter,” katanya.

Menurutnya, notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan dikeluarkan oleh Air Selangor untuk tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah.

Kesalahan berkenaan adalah dilakukan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan siasatan lanjut akan dilakukan oleh SPAN.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN, Loh Pit Mui berkata, premis berkenaan mempunyai akaun berdaftar namun masih terdapat sambungan bekalan air yang dilakukan secara haram.

“Dipercayai sambungan yang digunakan adalah untuk menampung pekerja yang tinggal di asrama kilang itu.

“Jika sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :