Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Kontroversi 1MDB kembali hangatkan New Zealand

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 JAN: Kemunculan pemegang amanah aset didakwa milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New Zealand menghangatkan kembali kontroversi industri pemegang amanah negara itu.

NZ Herald melaporkan Parti Buruh dan Parti Hijau percaya kes 1MDB itu menunjukkan kenyataan Kerajaan New Zealand bahawa ‘tiada bukti kukuh dana haram tersembunyi di negara itu’, baru-baru ini, harus dikaji semula.

Pemimpin Parti Buruh, Andrew Little berkata, kemunculan New Zealand dalam kontroversi berprofil tinggi 1MDB mencemar reputasi negara berkenaan di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, laporan sama menyebut, anggota keluarga ahli perniagaan kontroversi Malaysia, Jho Low akan membantah penyitaan aset NZ$230 juta, di Mahkamah Tinggi di Auckland, pada Jumaat ini.

Mereka mendakwa memiliki secara langsung aset yang terlibat dalam siasatan 1MDB disita Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS), pada pertengahan tahun lalu.

NZ Herald berkata, kaitan New Zealand hanya timbul apabila keluarga Low mengadu di mahkamah AS bahawa pemegang amanah tidak mencabar perintah penyitaan itu.

1MDB02“Pemfailan peguam keluarga Low mengatakan mereka mohon Mahkamah Tinggi New Zealand melantik seseorang yang bersedia berhadapan DOJ.

“Pemfailan AS berkata, pemegang amanah bimbang kegagalan membantah penggantian mereka meningkatkan kemungkinan berdepan undang-undang jenayah AS berhubung pengubahan wang haram,” lapor NZ Herald.

Pemfailan keluarga Low antara lain mendakwa bahawa beberapa pemegang amanah di New Zealand adalah pemilik langsung aset seperti jet peribadi Bombardier, hotel di Beverly Hills dan kediaman mewah bernilai NZ$55 juta di Los Angeles.

Pada 20 Julai 2016, DOJ mengumumkan bahawa tindakan undang-undang sivil difailkan untuk menyita dan merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dicuri menerusi syarikat diilhamkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak itu.

Sehingga kini, kontroversi 1MDB menggegar sekurang-kurangnya enam negara lain teramsuk AS, Switzerland, Singapura dan terbaru New Zealand.

Pada masa sama, November lalu menyaksikan Putrajaya menolak permintaan Switzerland mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber berkata, keputusan itu bagaimanapun tidak akan menghalang siasatan kerana mereka turut bekerjasama dengan negara lain dalam kes berkenaan.

NAJIB 1MDBPada Januari 2016, pejabat Lauber mengesyaki penyelewengan daripada 1MDB berjumlah kira-kira AS$4 bilion dan mendakwa skim Ponzi mungkin ditubuhkan untuk menyembunyikan dakwaan penipuan AS$800 juta.

Pendakwa raya persekutuan Swiss membuka siasatan jenayah terhadap dua bank swasta Switzerland dan empat individu tidak dikenali berhubung kaitan mereka dengan 1MDB.

Singapura juga pada November lalu, secara rasmi namakan Low sebagai orang penting dalam siasatan pengubahan wang haram dikaitkan dengan dana 1MDB.

Pihak berkuasa Singapura turut membekukan aset Low, bagaimanapun pemuda berusia 34 tahun itu tidak berdepan sebarang pertuduhan dalam siasatan ke atas 1MDB.

Sehingga kini, Najib yang pernah mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB menafikan terlibat dalam sebarang salah laku dan menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana siasatan antarabangsa.

-AA-


Pengarang :