Selangorkini
NASIONAL

Kos lanjut pelajaran makin tinggi, tempat di IPTA makin terhad

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 JAN: Langkah Kerajaan memotong peruntukan bagi sektor pendidikan menyebabkan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semakin mahal hingga menjejaskan golongan miskin untuk melanjutkan pelajaran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, IPTA juga terpaksa menghadkan pengambilan pelajar baru.

“Kalau kita lihat 2015 peruntukan untuk 20 IPTA di Malaysia sebanyak RM8.97 bilion, 2016 dikurangkan sebanyak RM7.57 bilion sebelum 2017 dikurangkan lagi sebanyak RM6.12 bilion. Jumlah pemotongan keseluruhan adalah RM2.85 bilion ringgit.

nik-nazmi“Pada masa sama kita telah melihat satu kesan yang serius apabila pemotongan ini menyebabkan IPTA tidak dapat menyediakan tempat secukupnya untuk pelajar di negara kita.

“Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ada Panel Penasihat Pendidikan Tinggi di mana saya salah seorang daripada anggotanya dan kita telah menerima begitu banyak aduan orang ramai yang anak-anaknya tidak mendapat tempat di dalam IPTA untuk menyambung pelajaran walaupun mendapat 7A dan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Forum Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN di Rumah Gerakbudaya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan golongan terbabit tidak mempunyai pilihan lain selain menyertai IPTS yang mengenakan yuran lebih tinggi untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Katanya lagi, IPTS pula mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang tinggi ke atas keadaan ini dengan mengenakan yuran yang tinggi.

“Mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa ke IPTS dan IPTS mengambil peluang ini untuk mendapatkan wang yang mudah daripada kerajaan disebabkan mereka tak perlu bersaing mendapat bayaran daripada mahasiswa apabila semuanya dibayar dahulu oleh PTPTN yang kemudiannya ditanggung pihak Kerajaan yang akan dikutip daripada graduan ini kemudiannya,” katanya lagi.

-nR-


Pengarang :