Selangorkini
SELANGOR

Kos sara hidup meningkat, rakyat mahu pekerjaan gaji lebih selesa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JAN: Gara-gara kos sara hidup semakin meningkat, rata-rata pengunjung yang hadir ke Karnival Selangor Job Fair 2016 mahu mencari pekerjaan dengan gaji lebih lumayan walaupun mempunyai kerja semasa.

Eliza Aini Ahmad, 27, berkata dengan kos sara hidup semakin meningkat memberi tekanan kepada rakyat masa kini apabila pekerjaan sekarang masih tidak mampu menanggung perbelanjaan harian yang tinggi.

“Pendapatan masa kini walaupun nilai tinggi lebih dari zaman dahulu tetapi masih menjadi terbeban apabila semua barangan semakin mahal, apatah lagi saya mempunyai dua anak kecil yang perlu dihantar ke rumah pengasuh. Kos ke rumah pengasuh sahaja sudah cukup mahal jika hidup di bandar.

“Walaupun saya dan suami bekerja, tetapi kami perlu fikir untuk menambah pendapatan lain apabila anak-anak semakin membesar, disitu berlaku pertambahan kos bagi kemasukan persekolahan. Jika anak ramai, lagi tinggi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Karnival Selangor Jobs Fair 2016 di Dataran kemerdekaan, di sini, semalam.

Sementara itu, Muhammad Zulaiman Aziz, 27, berkata, beliau datang ke Job Fair itu dengan tujuan mendapat tawaran pekerjaan lebih baik dengan gaji lebih tinggi berbanding diterima sedia ada.

“Zaman sekarang susah mahu mencari pekerjaan yang sama dengan bidang yang kita belajar ketika di universiti dulu. Kerja saya kerja sekarang ni pun sudah lari bidang.

“Pendapatan juga tidak lumayan. Hidup bujang pun dianggap masih kurang cukup apatah lagi jika sudah berumah tangga. Sebab itu ramai yang inginkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Bagi Mohammad Faris Salehen, 24, berkata beliau berharaa Job Fair akan membuka peluang kepada beliau diterima di mana-mana syarikat di Selangor.

“Sudah hampir tiga bulan saya mengangur, saya berharap di karnival ini membuka rezeki kerana kita juga perlu pendapatan untuk tambung kehidupan seharian,” katanya.

Sebanyak 35 syarikat swasta dan agensi pekerjaan beroperasi di Selangor menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Pos Malaysia, Aeon Berhad, Kumpulan Naza serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

=EZY=


Pengarang :