KUIS tingkat status huffaz dalam masyarakat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

KUIS tingkat status huffaz dalam masyarakat

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 23 JAN: Sistem pendidikan yang dipraktikkan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan melahir dan memartabatkan golongan huffaz pada status terbaik dalam masyarakat serta pembangunan sosial negara.

Rektornya, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pendekatan dilakukan itu mengubah pesepsi sedia ada bahawa pelajar tahfiz adalah imam pada Ramadan dan pembaca al-Quran sekiranya berlaku kematian.


“Pendidikan KUIS meletakkan status mahasiswa tahfiz lebih tinggi sebagai kumpulan teras yang mampu mewarnai masyarakat daripada segi pentadbiran dan kepimpinan.

“Perkara ini dibuktikan di Turki apabila kita memartabatkan al-Quran, maka Allah SWT akan meningkatkan martabat kita di sisi manusia.

KUIS (4)“Maka, usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah satu perkara yang patut diiktiraf,” katanya dalam Majlis Apresiasi Mahasiswa Tahfiz KUIS Bersamaa Kerajaan Negeri dan Pelancaran Fakulti Syariah Dan Undang-Undang KUIS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, KUIS merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar,yang membantu menyempurnakan Tabung Pendidikan Tahfiz Wal Qiraat KUIS bagi menaja mahasiswanya bagi meeruskan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Usaha ini memberikan kesan sangat positf dengan peningkatan jumlah pelajar baru yang sangat menggalakkan iaitu jumlah terkini 536 orang.

“Keyakinan tinggi kepada KUIS dalam mendidik generasi muda menjadi insan terbaik buat ummah adalah amanah yang sentiasa dijunjung,” katanya.

Bagi memperkasakan generasi berilmu di Selangor, katanya, KUIS menggalakkan dan memberi peluang kepada masyarakat untuk melanjutkan pegajian di peringkat lebih tinggi dan Kerajaan Negeri membuktikan komitmen dengan kelulusan peruntukan RM8 juta bagi peningkatan taraf fasiliti kolej berkenaan serta kemudahan pengajaran juga pembelajaran.

“Pelancaran Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang bertaraf jabatan sebelumnya akan menjadi fakulti teras dalam melahirkan lebih ramai profesional bagi bidang perundangan Islam,” katanya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next