Kukuhkan ringgit buntu, BNM perlu kaji tambat ringgit | Selangorkini


Kukuhkan ringgit buntu, BNM perlu kaji tambat ringgit

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memikirkan langkah proaktif seperti menambat ringgit seperti dilaksanakan ketika negara berhadapan dengan krisis kewangan pada 1998.

Bekas Timbalan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob berkata, kejatuhan nilai ringgit paras terendah sejak krisis kewangan Asia menunjukkan langkah mewajibkan pengeksport tempatan menukar 75 peratus hasil eksport kepada ringgit gagal memberi kesan diharapkan.


Katanya faktor dalam negara khususnya skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) memburukkan lagi persepsi pelabur terhadap keyakinan ringgit.

“Nilai ringgit terus merosot menunjukkan langkah diambil tidak atau belum menunjukkan kesan positif dan ini ditambah faktor negatif lain yang memberi kesan besar kepada ringgit termasuk skandal 1MDB yang belum diselesaikan,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini hari ini.

Katanya, petunjuk baru ini juga sekaligus menjadi petanda awal bahawa tidak mustahil nilai ringgit terus meleset ke paras RM5 bagi satu dolar AS sekiranya Kerajaan Persekutuan gagal mengambil langkah lebih konkrit.

ringgit“Kebarangkalian mencecah RM5 memang ada sekiranya BNM tidak mengambil langkah sewajarnya tetapi bila masa akan berlaku tak dapat dijangkakan adakah lagi enam bulan atau setahun,” katanya.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka perlahan pada tahun ini dan kenaikan harga komoditi termasuk minyak yang rendah turut menyumbang kepada kejatuhan nilai ringgit.

“Pertambahan hasil eksport tidak mampu melonjakkan nilai ringgit dan hutang negara yang besar dijangka terus bertambah terutamanya bila kita berhutang dengan China untuk buat projek besar yang memberi tekanan menurun yang kuat kepada ringgit,” kata Dr Rosli.

Beliau berkata selain itu peningkatan import ketika ringgit dalam keadaan lemah turut ‘memberatkan’ nilai ringgit untuk melonjak.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next