Selangorkini
NASIONAL

Lebih 12,000 mangsa banjir di Johor dan Pahang dipindah

JOHOR BAHRU 25 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 9,487 orang yang ditempatkan di 77 pusat pemindahan berikutan pertambahan bilangan mangsa di Segamat setakat jam 12 tengah hari ini berbanding 8,204 orang pada jam 7 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata daerah Segamat kini mencatatkan 7,113 mangsa banjir daripada 2,129 keluarga, melibatkan 53 pusat pemindahan berbanding 6,609 di 50 pusat pemindahan pagi tadi.

“Daerah kedua paling teruk terjejas ialah Kota Tinggi dengan 986 mangsa dan Tangkak 830 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata daerah Kluang pula mencatatkan 213 mangsa banjir di empat pusat pemindahan, sementara masing-masing satu pusat pemindahan di Muar (167 mangsa); Mersing (111); Johor Bahru (56) dan Batu Pahat (11).

Bagaimanapun, katanya tiga pusat pemindahan telah ditutup iaitu Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru Masai dan balai raya Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru dan balai raya Felda Pasak di Kota Tinggi.
KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri terus meningkat kepada 2,939 mangsa daripada 745 keluarga tengah hari ini berbanding 1,328 orang daripada 351 keluarga pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusoff, berkata 60 pusat pemindahan dibuka di tujuh daerah iaitu Kuantan, Lipis, Rompin, Jerantut, Raub Maran dan Pekan.

Beliau berkata, Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 775 orang daripada 203 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan.

Katanya, daerah Pekan pula membabitkan 452 orang daripada 106 keluarga dengan enam pusat pemindahan dan Maran seramai 599 mangsa dari 169 keluarga di 10 pusat pemindahan.

Jumlah mangsa di daerah Raub pula membabitkan 295 orang daripada 84 keluarga, Jerantut (436 orang daripada 79 keluarga), Rompin (132 orang daripada 36 keluarga) dan Lipis (250 orang daripada 69 keluarga).

“Sebanyak 12 pusat pemindahan dibuka di Raub manakala 10 di Jerantut, lapan di Lipis dan tiga di Rompin. Kita harap cuaca panas sejak pagi membolehkan air mulai surut dan mungkin mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

EZY


Pengarang :