Liga Super: PKNS FC bentuk skuad mantap, yakin mencabar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Liga Super: PKNS FC bentuk skuad mantap, yakin mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JAN: Keputusan diraih dalam beberapa perlawanan pra musim memberi keyakinan kepada PKNS FC untuk menghadirkan cabaran bermakna dalam saingan Liga Super musim ini.

Selaku pendatang baru, naib juara Liga Perdana 2016 itu menyedari bakal berdepan cabaran getir pasukan lawan tambahan beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang naib juara liga, Felda United di gelanggang lawan, 21 Januari ini.


Bagi tujuan itu, kelab bimbingan Ketua jurulatih, E Elavarasan, terus memantapkan persiapan dan kini dalam fasa terakhir dengan latihan dijalankan di Kompleks Sukan Ranau, Sabah.

Pengurusnya, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata semestinya PKNS FC perlu terus mengandakan usaha bagi meningkatkan prestasi pasukan dan latihan digiatkan bagi membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain.

“Pemain baru seperti Safee Sali, Amiruddin Taj, Kyril Muhaimin, Patrick Ronaldinho Wleh dan yang lain dilihat semakin serasi dan dijangka akan mampu memantapkan pasukan pada musim ini.

“PKNS FC mengadakan tujuh perlawanan persahabatan dengan mencatatkan keputusan memuaskan serta prestasi pemain semakin meningkat dengan bebrapa gandingan diuji bagi mendapat gandingan terbaik dan keserasian,”katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Sebelum berangkat ke Sabah, PKNS FC mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan persahabatan terakhir iaitu menentang Kuala Lumpur (1 – 1), 4 Januari dan Kedah (0 – 0), 7 Januari lalu.

Naib juara Piala FA itu bakal mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Sabah, 14 Januari ini sebelum bersedia dengan perlawanan liga menghadapi Felda United.

“PKNS FC amat memandang tinggi kemampuan Felda United kerana pasukan ini membariskan pemain terbaik negara dan turut menyertai saingan Piala AFC 2017.

“Tambahan pula ia adalah perlawanan pertama kita di gelanggang lawan dan tentunya berlangsung sengit antara kedua-dua pasukan,” katanya.

Pada musim ini, PKNS FC mengekalkan tenaga import, Gonzalo Soto dan Matias Hadwa selain diperkuatkan kembali Patrick yang dipinjamkan kepada Selangor musim lalu.

Skuad The Red Ants yakin dengan barisan pemain dimiliki mereka berkemampuan memberi cabaran kepada pasukan lain dalam Liga Super dan menyasarkan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala selain menamatkan saingan liga di tempat kelima.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next