Selangorkini
SELANGOR

Liga Super: PKNS FC dikecewakan Kelantan di laman sendiri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 JAN: Hasrat PKNS FC mengutip mata tidak kesampaian apabila dikalahkan Kelantan 1- 3 di Stadium Shah Alam, di sini, petang ini.

Beraksi dalam perlawanan kedua Liga Super dan pertama di gelanggang sendiri menyaksikan anak buah E Elavarasan gagal menggunakan kelebihan berkenaan.

Sebaliknya, Kelantan mempamerkan penguasaan dengan melancarkan serangan berterusan cukup mengucar-kacirkan pertahanan The Red Ants.

PC (4 of 11)Kelantan berjaya mendahului PKNS FC pada minit ke-18 menerusi gol padang dijaringkan pemain import, Mohamad Ghaddar dengan melepasi penjaga gol PKNS FC, Muhammad Nor Haziq.

Selang tiga minit, Mohamad Ghaddar sekali lagi menjaringkan gol kedua pasukan pelawat hasil sepakan penalti.

Penalti diberikan pengadil selepas pertahanan PKNS FC, Azmi Muslim mengasari Alessandro Padovani Celin.

Ketua pasukan, Gonzalo Soto merapatkan jurang buat PKNS FC dengan tandukan kencang untuk gol kedua menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dalam masa tambahan separuh masa pertama.

Babak kedua terus tidak memihak pasukan tuan rumah apabila dalam masa tiga minit permainan bersambung, Kelantan berjaya mencipta jaringan ketiga melalui ketua pasukan, Badhri Radzi.

PC (10 of 11)Gol sepakan percuma itu terhasil apabila Kelantan memperolehnya ekoran kekasaran dilakukan pertahanan PKNS FC.

The Red Ants cuba bangkit dalam baki perlawanan dengan menggandakan serangan, namun barisan serangan diketuai Safee Sali dihalang keras pertahanan The Red Warriors.

Safee berjaya meletak bola ke dalam jaring pada minit ke-67 namun gol terbabit tidak dikira kerana seorang pemain pertahanan Kelantan mengalami kecederaan.

Keputusan sama kekal hingga tamat perlawanan dengan skuad bimbingan Zahasmi Ismail berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan sulung mereka.

-nR-


Pengarang :