SELANGOR

Lipas sana sini, MPSJ arah restoran tutup

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: Sebuah restoran makanan terkenal menghidangkan nasi lemak di USJ 10, di sini diarah tutup serta-merta berikutan tahap kebersihan premis itu tidak memuaskan dan kotor.

Lebih menjijikkan, lipas turut ditemui di beberapa bahagian premis selain makanan yang dihidangkan sejak pagi terdedah kepada lalat.

Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai tahap kebersihan premis makanan itu.

DSC_5164Katanya, ketika serbuan dibuat, MPSJ menemui lipas di peti ais di dapur dan tempat penyediaan air minuman.

“Ini bukan kali pertama premis ini diperiksa berikutan premis sama pernah diarahkan menutup operasi mereka selama tiga hari atas masalah bekersihan,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata premis berkenaan turut menggaji warga asing dan tujuh daripada 16 pekerja yang diperiksa tidak mengambil suntikan tifoid (TY2) yang menjadi keutamaan kepada pekerja di sektor makanan.

Premis terbabit diarahkan tutup serta-merta mengikut peruntukan ditetapkan di bawah Akta Undang-Undang Kecil 62(1) 2007.

“Penemuan lipas, pekerja yang tidak mengambil suntikan serta makanan yang terdedah memberikan kesan tidak baik kepada kesihatan pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MPSJ sedang giat menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas premis restoran dan premis makanan yang tidak berlesen, kotor dan tidak mematuhi peraturan yang diberikan oleh pihak Majlis.

DSC_5114Penumpuan operasi yang dijalankan pada Rabu lalu adalah tertumpu kepada premis makanan dan restoran yang tidak mempunyai lesen perniagaan dan yang mempunyai persekitaran kotor.

“Pihak Jabatan Kesihatan MPSJ memeriksa sebanyak tujuh premis restoran dan premis makanan di kawasan USJ 9 & USJ 10 Subang Jaya,” katanya.

-nR-


Pengarang :